Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama sukarelawan ketika aktiviti melapah daging di Masjid Baru Selayang pada 29 Jun 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sikap saling hormati bolehkan ibadah korban diterima semua kaum

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 29 JUN: Sifat saling menghormati dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbeza agama di negara ini membolehkan ibadah korban diterima semua kaum.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata persefahaman yang wujud menjadi teras keamanan dan kestabilan negara selain membolehkan masyarakat berbilang kaum bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing.

“Walaupun lembu yang disembelih (dalam ibadah korban) sensitif untuk sesetengah kelompok, namun saya lihat segenap lapisan masyarakat boleh terima ibadah yang dituntut dalam kalangan umat Islam.

“Apatah lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua dan Batu Caves kita berdepan situasi ini setiap tahun begitu juga ketika sambutan Thaipusam, namun keharmonian dapat dikekalkan atas dasar toleransi dan saling menghormati antara satu sama lain kita bebas amalkan kepercayaan agama masing-masing,” katanya kepada Selangorkini.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata demikian ketika program Ziarah Korban di Kampung Baru Batu Caves di sini tengah hari tadi.

Terdahulu Amirudin tiba di lokasi penyembelihan dengan menunggang skuter jam 11.50 pagi.

Penyandang kerusi DUN Sungai Tua itu turut meluangkan masa meninjau sendiri upacara korban yang dilaksanakan selain beramah mesra dengan penduduk setempat dan petugas penyembelihan.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini dan peruntukan tersebut bertambah berbanding tahun lalu berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000 seekor.

Pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 kepada 700 dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor. Menerusi sumbangan itu, setiap 56 Ahli Dewan Negeri menerima empat ekor lembu dan 10 ekor kambing.


Pengarang :