Penduduk melakukan ibadah korban di Masjid Al Amaniah, Gombak pada 29 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kariah masjid, surau terharu dikunjungi MB ketika Aidiladha

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 29 JUN: Kira-kira 250 kariah terharu atas kesudian Dato’ Menteri Besar singgah pada program Ziarah Korban Aidiladha di Masjid Jamek Al-Amaniah di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhammad serta pegawai dengan menunggang motosikal pada jam 11.25 pagi disambut mesra sebahagian kariah masjid.

Penolong Pengurus Masjid Jamek Al Amaniah Abu Dzar Mohd Ghazali

Beliau kemudian melawat sebahagian lagi kariah yang melapah 11 lembu dan dua kambing di khemah masjid selain menjamah hidangan sebelum beredar ke lokasi seterusnya.

Penolong Pengurus masjid, Abu Dzar Mohd Ghazali berkata beliau teruja dan terharu kerana dapat bertemu dengan Dato’ Menteri Besar pada program tersebut.

“Terima kasih Dato’ Seri Amirudin kerana sudi ziarah kami semasa hari raya,” katanya.

Terdahulu, Amirudin turut melawat 100 kariah di Surau Al Ibtida’iah Kampung Bendahara di sini yang bergotong-royong menyembelih dan melapah tujuh ekor lembu termasuk seekor yang disumbangkan Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan penduduk ketika program Ziarah Korban DUN Sungai Tua di Kampung Bendara, Gombak pada 29 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau tiba di surau tersebut bersama rombongannya kira-kira pukul 10.45 pagi.

Setiausaha Surau Al Ibtida’iah Kampung Bendahara Mohamad Yasin Abd Wahab

Setiausaha surau, Mohamad Yasin Abd Wahab berkata beliau gembira dan berbesar hati dengan kesudian Dato’ Menteri Besar menziarah program korban mereka.

“Walaupun beliau singgah sekejap tapi amat bermakna buat kami,” katanya.

Tambah Mohamad Yasin daging lembu sumbangan Kerajaan Negeri akan diagihkan kepada 44 asnaf di kawasannya.

Program Ziarah Korban yang dihadiri Amirudin hari ini melibatkan 12 lokasi di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua. Program bermula pukul 9 pagi hingga 1.30 tengah hari.


Pengarang :