Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui Media Selangor pada program Ziarah Korban Aidiladha di Surau Al Hidayah, Pinggiran Batu Caves pada 29 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

12 lokasi ziarah korban selesai dijelajahi, MB bangga penglibatan penduduk

GOMBAK, 29 JUN: Dato’ Menteri Besar selesai menjelajah 12 lokasi sempena program Ziarah Korban Aidiladha di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu merupakan tradisi tahunan dianjur pusat khidmat masyarakat DUN berkenaan sepanjang beliau menjadi wakil rakyat.

“Alhamdulillah, kehadiran masyarakat ke ibadah korban hari ini juga kelihatan begitu ramai termasuk pembabitan anak muda daripada pelbagai peringkat termasuk pelajar.

“Mereka bergabung dengan institusi masjid dan surau, ini perkembangan yang sangat baik dan harus kita kekalkan supaya anak muda turut dapat memahami dan mengikuti ibadah korban yang menjadi sebahagian daripada amalan masyarakat Islam,” katanya pada program di Surau Al Hidayah, Pinggiran Batu Caves.

Petugas bergambar bersama pada program Ziarah Korban Aidiladha di Masjid An Nur Wira Damai pada 29 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, Amirudin yang juga penyandang DUN Sungai Tua meluangkan masa kira-kira 20 minit beramah mesra sambil makan dan minum bersama pengunjung di surau berkenaan.

Sementara itu, pengerusi surau Che Hamid Che Jusoh berkata sebanyak 11 lembu dikorbankan dengan bantuan 250 sukarelawan.

Pengerusi Surau Al Hidayah, Che Hamid Che Jusoh

“Terima kasih Kerajaan Negeri sumbang seekor lembu untuk dikorbankan hari ini. Walaupun ini bukan kali pertama kunjungan Dato’ Menteri Besar ke sini kami para kariah berasa amat teruja dan berharap ia diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini dan peruntukan tersebut bertambah berbanding tahun lalu berikutan peningkatan harga lembu daripada RM5,400 kepada RM6,000 seekor.

Pertambahan jumlah lembu korban daripada 660 kepada 700 dan jumlah kambing kekal 1,000 ekor. Menerusi sumbangan itu, setiap 56 Ahli Dewan Negeri menerima empat lembu dan 10 kambing.

Sebahagian peserta dan penerima agihan daging menunggu nama mereka dipanggil untuk menerima daging korban pada program Ziarah Korban Aidiladha di Surau Al Hidayah, Pinggiran Batu Caves pada 29 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :