SHAH ALAM, 29 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan mengingatkan rakyat agar mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT selain menginsafi nasib golongan yang lebih daif.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah agar mereka yang berkemampuan sanggup berkorban untuk membantu orang miskin lebih-lebih lagi ketika sambutan Aidiladha.
“Baginda menyeru umat Islam agar bersama-sama menyempurnakan tugas dan tanggungjawab sebagai orang Islam yang patuh kepada ajaran Allah SWT dengan merapatkan ukhwah dan mempererat hubungan silaturahim,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.
Sultan Sharafuddin yang ketika ini menunaikan ibadat haji di Tanah Suci bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bertitah sedemikian ketika menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada umat Islam di negeri ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/06/FW1310654_PTJ24_20062023_SULTAN_SELANGOR_HAJI-lpr-500x334.jpg.webp)
Baginda turut mendoakan agar jemaah haji Malaysia dapat melakukan ibadat dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur selain kembali ke tanah air dengan selamat.
“Semoga pengalaman mengerjakan ibadah haji dapat dimanfaatkan agar menjadi insan yang lebih tawaduk serta mampu memperkukuh dan meningkatkan tahap keimanan dalam diri,” titah Baginda.
Pada 20 Jun lalu, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri berangkat menunaikan ibadah haji sehari selepas berkenan membubarkan Dewan Negeri Selangor bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.