Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dan beramah mesra dengan sembelihan pada program Ziarah Korban Aidiladha di di KRT Laksamana Jaya A, Kampung Laksamana pada 29 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

180 petugas gotong-royong sembelih sembilan lembu dan dua kambing

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 29 JUN: Majlis Pembangunan Komuniti Kampung Laksamana menghidang menu istimewa kepada Dato’ Menteri Besar dan isteri pada Ziarah Korban Aidiladha di sini hari ini.

Ketua kampungnya berkata pihaknya menghidang gulai kambing, sup tulang, kari daging dan nasi beriani bagi merai kunjungan Dato’ Seri Amirudin Shari dan Datin Seri Masdiana Muhamad.

Menurut Rozaidi Ishak, seramai 180 petugas bergotong-royong menyembelih sembilan lembu dan dua kambing serta memasak hidangan tengah hari.

Ketua Kampung Laksamana, Rozaidi Ishak

“Kita gembira ibadah korban yang dilaksanakan hari ini disertai semua penduduk tanpa mengira fahaman politik. Ibadah ini berjaya menyatupadukan saudara seagama yang sering kali berpecah kerana perbezaan fahaman politik.

“Malah dengan sumbangan yang diberikan Kerajaan Negeri lebih ramai fakir miskin dapat dibantu sekali gus menceriakan sambutan Aidiladha mereka” katanya yang mengagih 250 bungkusan daging kepada fakir miskin dan penduduk.

Sementara itu, penduduk Kampung Baru Batu Caves turut bergotong-royong menumbang 13 lembu dan 15 kambing pada program yang disertai kira-kira 150 penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad menaiki motosikal ke program Ziarah Korban Aidiladha di KRT Laksamana Jaya A, Kampung Laksamana pada 29 Jun 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Amirudin dan isteri yang menunggang motosikal bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad tiba di kampung tersebut kira-kira jam 11.50 pagi.

Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau upacara korban selain beramah mesra dengan penduduk dan petugas sebelum beredar ke lokasi seterusnya.

Pengerusi Jawatankuasa Korban Surau Al-Ehsan, Abd Ghaffar Kemas Salleh berkata pihaknya mengagih daging sembelihan kepada lebih 500 penduduk selain fakir miskin sekitar kampung berkenaan.


Pengarang :