AGENDANASIONAL

Remaja 13 tahun ditahan bawa kereta tanpa lesen, lawan arus

SHAH ALAM, 30 JUN: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan polis kerana memandu kereta tanpa lesen dengan membawa empat penumpang di Chukai, Kemaman semalam.

Ketua polis daerah Kemaman berkata remaja yang memandu kereta jenis Proton Saga ditahan sekitar 5.15 petang selepas dikesan memandu melulu dan melawan arus, lapor Sinar Harian.

Menurut Superitendan Hanyan Ramlan, remaja terbabit juga tidak mengendahkan arahan polis supaya memberhentikan kenderaan malah terus memecut melarikan diri.

“Polis mengesan suspek yang memandu kereta jenis Proton Saga berwarna putih datang dari arah bertentangan secara melawan arus ketika melalui Jalan Bawah Jambatan Geliga (Waterfront).

“Anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu, namun pemandunya tidak mengendahkan arahan supaya berhenti dan terus memecut laju untuk melarikan diri,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau berkata polis mengekori suspek sejauh 10 kilometer sebelum pemandu dan empat penumpang itu ditahan ketika berhenti di hadapan sebuah dobi layan diri.

Sebanyak enam saman dikeluarkan terhadap remaja itu dan kenderaan terbabit disita. Saman juga akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan orang yang tiada lesen memandu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

 


Pengarang :