Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar menyampaikan sumbangan baucar Kembali ke Sekolah di Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi pada 18 Mac 2023. Foto Mazwan Johar
ADNSELANGOR

Pengundi diseru nilai, banding calon bertanding berdasar prestasi

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 1 JULAI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal meminta pengundi di kawasan tersebut menilai rekod kerjanya sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat,

Mazwan Johar berkata rakyat juga perlu menilai prestasi Kerajaan Negeri secara keseluruhan di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi pelbagai program kebajikan.

“Berdasarkan ‘track record’, saya sendiri tidak bimbang untuk dibandingkan dengan sesiapa walaupun ada ura-ura mengatakan parti lawan akan mempertaruhkan calon yang pernah menjadi wakil rakyat.

“Saya minta rakyat menilai dan bandingkan ‘track record’ masing-masing. Saya tidak ada masalah selagi ia dilakukan secara adil dan ‘gentleman’,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata sejak dahulu (sebelum Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Negeri), beliau sudah melaksanakan program membantu meringankan beban rakyat seperti Pasar Ehsan Rakyat tetapi berskala kecil sebelum diperluas yang kini dikenali Jualan Ehsan Rahmah sekali gus menjimatkan belanja dapur berjuta penduduk.

“Dulu sebelum 2018, saya bukan kerajaan (wakil rakyat) tapi kita buat Pasar Ehsan Rakyat sebab ia bagus untuk rakyat. Kumpul barang jual harga murah cuma tidak semurah dan tidak sebanyak di jualan murah hari ini.

“Kita ikhtiar ke arah itu, dan sekarang dah jadi kerajaan, kita buat lebih besar, ikut apa yang terdaya dan kerja ini dah lama dilaksana,” katanya.

Pada 23 Jun, DUN Selangor bagi penggal ke-14 secara rasminya dibubarkan untuk membuka laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.


Pengarang :