Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan ibadah korban ketika program korban perdana bersama Yayasan Selangor di Kampung Pasir Hulu Kelang, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB sertai program jelajah korban, kongsi kejayaan negeri

AMPANG JAYA, 1 JULAI: Dato’ Menteri Besar meneruskan jelajah Ziarah Korban Aidiladha Parlimen Gombak di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir, Hulu Kelang hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad tiba ke program korban dengan kerjasama Yayasan Selangor itu pada jam 9.30 pagi.

Kehadiran Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak disambut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Eddie Ahmad Khodzali dan Yang Dipertua Ampang Jaya Dr Ani Ahmad.

Menerusi program tersebut, Amirudin turut mengambil peluang berkongsi kegembiraan bersama penduduk setempat berhubung kejayaan dicapai Selangor antaranya sumbangan terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Saya sangat gembira dapat bersama-sama penduduk hari ini dan berkongsi kegembiraan berhubung prestasi negeri.

“Banyak berita menarik yang menggembirakan seperti kejayaan Selangor mencatat pertumbuhan besar KDNK iaitu 25.5 peratus selain merekod kehadiran pelancong paling tinggi pada 2022.

“Alhamdulillah, kita dapat sambut raya dengan berita gembira serta melihat kehadiran pelbagai lapisan menjalankan ibadah korban. Ini menunjukkan kita dalam proses yang betul dalam pemulihan ekonomi selepas berdepan pelbagai cabaran,” ucapnya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama penduduk ketika program korban perdana bersama Yayasan Selangor di Kampung Pasir Hulu Kelang, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Justeru, Amirudin berharap dengan adanya aktiviti tersebut dapat memperkukuhkan penduduk dan terus tekad menjadi rakyat Kita Selangor yang hebat, kuat, bersatu padu serta mampu berdepan dengan rintangan.

Terdahulu, Amirudin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua turut menziarah program korban di Surau Estana Court, Kampung Pasir dan Masjid As-Sobirin Lembah Keramat.

Selangor mencacat sejarah apabila menjadi menjadi penyumbang tertinggi KDNK negara iaitu 25.5 peratus pada tahun lalu iaitu meningkat 0.7 peratus berbanding 2021.

Pertumbuhan dicatat itu merupakan paling tinggi dan sumbangan tertinggi Selangor kepada KDNK negara sejak Pakatan Harapan mentadbir negeri bermula 2008.

Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan ekonomi Selangor melebihi pertumbuhan paras nasional sebanyak 3.2 peratus iaitu sebanyak 11.9 peratus berbanding 8.7 peratus pertumbuhan kadar nasional.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad beramah mesra bersama penduduk ketika ziarah korban di Masjid As Sobirin, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :