Penduduk bekerjasama ketika rewang sekampung pada majlis Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri daerah Sabak Bernam di Dataran Tanah Lesen Parit Baru, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LUAS kongsi panduan urus sisa ketika rumah terbuka Aidiladha

SHAH ALAM, 1 JULAI: Orang ramai yang berhasrat menganjur rumah terbuka bagi meraikan sambutan Aidiladha disaran mengikut panduan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengelak gangguan bekalan air.

Menerusi hebahan panduan menjaga sumber air sempena Raya Haji, penganjur majlis perlu memastikan sisa makanan dan sampah pepejal dikumpulkan sebelum dibuang ke tapak pelupusan.

“Ini bagi membolehkan sampah berkenaan dilupuskan oleh pihak berkuasa bagi mengekang pencemaran.

“Pembuangan sisa makanan dan sampah ke dalam sungai juga adalah dilarang kerana ia boleh menyebabkan pencemaran sekali gus mendorong kepada masalah gangguan air ketika hari raya,” maklumnya di Facebook.

LUAS turut berkongsi larangan membuang minyak masak terus ke dalam sinki atau longkang sebaliknya perlu dibawa ke pusat kitar semula bagi mengelak pencemaran atau sinki tersumbat.

“Jangan ambil mudah, gangguan bekalan air semasa musim perayaan boleh dielakkan jika mengikuti langkah disenaraikan LUAS,” katanya.

Sebarang aktiviti mencurigakan yang boleh mengakibatkan pencemaran sungai, sila maklumkan kepada LUAS menerusi talian tetap 03 5511 1800 atau aplikasi whatsapp 019-264 7904.


Pengarang :