Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni menyampaikan pengajian secara membaca sempena talaqqi kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali pada Festival Turath Islami Selangor di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam pada 1 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Festival turath kembali 3 Julai, ulama Pattani kupas kitab al-Ghazali

SHAH ALAM, 1 JULAI: Penganjuran Festival Turath Islami Selangor yang sebelum ini menggamit ribuan peserta tempatan dan negara jiran pada Mei diteruskan pada awal Julai.

Tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni ditampilkan sekali lagi dalam Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Sebelum ini menyampaikan talaqqi kitab Ihya Ulumuddin pada 1 Mei, beliau meneruskan pengajian itu dalam sesi kuliah duha dan maghrib pada 3 Julai diikuti kuliah duha pada 4 dan 5 Julai.

Pengajian kitab Mawaqif al-Marjan pula disampaikan ahli jawatankuasa Majlis Agama Islam Wilayah Pattani itu dalam sesi kuliah duha pada 7 Julai.

Kuliah dhuha bermula jam 8.45 pagi hingga 11.30 pagi manakala kuliah maghrib antara jam 7.45 petang hingga 11 malam.

Bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan Cabaran terhadap tradisi turath dalam abad ke-21 ketika program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Baba Ismail menghuraikan kitab karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam majlis prapelancaran festival sama di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar pada 1 Mei.

Sebelum ini, majlis julung kali yang turut dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab berlangsung selama seminggu mulai 20 Mei.

Festival tersebut bersempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu mulai awal tahun ini yang digerakkan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.


Pengarang :