Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Eddie Ahmad Khodzali ketika simbolik penyerahan daging korban sempena program korban perdana bersama Yayasan Selangor di Kampung Pasir Hulu Kelang, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Yayasan Selangor teruskan tradisi, sumbang dua lembu korban

AMPANG JAYA, 1 JULAI: Yayasan Selangor meneruskan tradisi menyumbang lembu untuk ibadah korban dengan tahun ini diberikan kepada penduduk Kampung Pasir, Hulu Kelang di sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Eddie Ahmad Khodzali berkata sumbangan itu merupakan kerjasama dengan pejabat Parlimen Gombak sempena program ziarah korban kawasan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Eddie Ahmad Khodzali 

“Menerusi program ini, sebanyak empat lembu disembelih iaitu dua ekor masing-masing sumbangan Parlimen Gombak dan Yayasan Selangor. Korban dikendalikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir dibantu kakitangan Yayasan Selangor.

“Semua daging ini akan diagihkan kepada penduduk sekitar. Insya-Allah, kita berhasrat untuk memberi sumbangan lebih pada masa akan datang bergantung kepada kedudukan kewangan,” katanya ditemui pada program tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyembelih lembu ketika program korban perdana bersama Yayasan Selangor di Kampung Pasir Hulu Kelang, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar hadir ke program Ziarah Korban Aidiladha Parlimen Gombak di Kampung Pasir yang dihadiri kira-kira 100 penduduk.

Dato’ Seri Amirudin Shari merupakan ahli parlimen Gombak juga meluangkan masa menyembelih seekor lembu bersama penduduk.

Penduduk bergotong-royong ketika ziarah korban di Masjid As Sobirin, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Program ziarah korban kemudian diteruskan ke Surau Estana Court, Kampung Pasir dan Masjid As-Sobirin Lembah Keramat.

Sementara itu, di Masjid As-Sobirin Lembah Keramat, pihak pengurusan menyembelih 16 lembu dan lapan kambing untuk diagihkan kepada penduduk sekitar dan asnaf.

Nazir Masjid As-Sobirin Muhammad Zaid Johan berkata lebih 100 penduduk bergotong-royong membantu menyembelih semua haiwan korban dan memasak pelbagai juadah seperti nasi pulau dan sup.

Nazir Masjid As-Sobirin Lembah Keramat, Muhammad Zaid Johan

“Pada hari ini lembu dan kambing merupakan sumbangan daripada penduduk yang berniat melakukan korban. Daging ini diagihkan kepada 600 rumah dan asnaf.

“Terima kasih kepada Menteri Besar sudi datang dan memberi sumbangan lembu dan kambing kepada Masjid As-Sobirin Lembah Keramat yang telah kita sempurnakan pada Khamis lalu,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad beramah mesra bersama penduduk bersama penduduk ketika ziarah korban di Masjid As Sobirin, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :