Penduduk Estana Court memasak secara bergotong-royong pada program Ziarah korban di Surau Estana Court, Kampung Pasir, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Lemang durian, kari daging kerbau antara juadah istimewa sambut MB

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

AMPANG JAYA, 1 JULAI: Lemang durian antara menu hidangan istimewa disediakan penduduk Estana Court, Kampung Pasir di sini bagi menyambut kehadiran Dato’ Menteri Besar.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd Jefri Ghazali berkata juadah itu dibuat khas secara gotong-royong untuk dihidang kepada Dato’ Seri Amirudin Shari selain menu lain seperti sup kambing dan kari daging kerbau.

Pengerusi Persatuan Penduduk Estana Court Kampung Pasir, Ampang Jaya Mohd Jefri Ghazali

“Penduduk teruja menanti ketibaan Dato’ Menteri Besar buat pertama kali di surau kondominium ini dan persiapan telah dibuat sejak semalam oleh kira-kira 100 kariah surau.

“Seekor kerbau dan tiga kambing ditumbang untuk diagihkan kepada penduduk di kondominium yang terdiri daripada 209 unit rumah serta ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya sambil menambah tradisi korban di situ bermula sejak 2014 lagi.

Katanya, program berkenaan bukan saja mengeratkan ukhwah antara penduduk malah kesepakatan antara satu sama lain dalam menghidupkan surau tanpa sikap berpuak meskipun mereka berbeza fahaman politik.

Penduduk Estana Court bergotong-royong pada Program Ziarah korban di Surau Estana Court, Kampung Pasir, Ampang Jaya pada 1 Julai 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pewaris Anak-anak Melayu Gombak Khairul Bahri Ishak berkata program korban di Kampung Sungai Pusu melibatkan hampir 200 ahli dari keseluruhan 45 kampung di sekitar Gombak.

“Sebanyak tiga ekor lembu ditumbangkan hari ini dengan seekor daripadanya adalah sumbangan Dato’ Menteri Besar. Kami amat berbesar hati menyambut ketibaan beliau di sini dan persiapan telah dimulakan sejak 2 minggu untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

“Program korban di sini adalah kali kedua dianjurkan Pewarga dan daging diagihkan kepada kira-kira 200 penerima termasuk peserta korban, petugas dan 30 asnaf Kampung Sungai Pusu,” katanya.

Menariknya, pada jelajah Ziarah Korban Aidiladha Parlimen Gombak di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Pusu itu, Amirudin dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad turut menyertai penduduk menjamu hidangan tengahari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad ditemani Presiden Pertubuhan Pewaris Anak-anak Melayu Gombak Khairul Bahri Ishak (dua, kanan) menyertai penduduk menjamu hidangan tengahari pada Program Ziarah korban yang diadakan di Padang Kampung Sungai Pusu pada 1 JULAI 2023. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

 

 


Pengarang :