Kerajaan menyalurkan RM446 juta kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara sejak September 2015 sehingga 31 Disember 2022 bagi mengurangkan beban mereka ketika harga getah rendah. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pekebun kecil getah dapat bayaran insentif pengeluaran mulai bulan ini

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Pekebun kecil seluruh Malaysia layak menerima bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dari 1 hingga 31 Julai berdasarkan pengeluaran getah Jun lalu.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata IPG getah cuplump dan lateks teraktif bagi Jun di Semenanjung Malaysia ialah 30 sen sekilogram untuk 50 peratus kandungan getah kering (DRC) dan 60 sen sekilogram untuk 100 peratus DRC.

Bagi Sabah, kadarnya ialah 65 sen sekilogram bagi 50 peratus DRC dan RM1.30 sekilogram bagi 100 peratus DRC, manakala bagi Sarawak kadarnya ialah 60 sen sekilogram bagi 50 peratus DRC dan RM1.20 sekilogram bagi 100 peratus DRC.

Sementara itu, kadar IPG bagi lateks ialah 90 sen sekilogram bagi 100 peratus DRC.

Pada Jun, LGM berkata purata harga di peringkat ladang untuk getah cuplump ialah RM2.40 sekilogram untuk Semenanjung Malaysia, RM2.05 sekilogram untuk Sabah dan RM2.10 sekilogram untuk Sarawak.

LGM berkata IPG akan diaktifkan jika purata harga bulanan di peringkat ladang bagi getah di peringkat ladang adalah di bawah paras RM2.70 sekilogram mulai Januari.

Kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) baharu adalah inisiatif yang dibuat oleh kerajaan dalam Belanjawan 2023.

— BERNAMA


Pengarang :