Oleh Nina Farzuin Md Sharom
GOMBAK, 2 JULAI: Kerajaan Perpaduan bekerja keras bagi memulih keadaan negara termasuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ini terbukti apabila masalah kekurangan bekalan terutama ketika sambutan Aidilfitri dan Aidiladha tidak timbul seperti tahun sebelumnya.
“Pada hari ini para pimpinan di peringkat negeri dan persekutuan sedang bekerja siang malam untuk bersama-sama pulihkan negara.
“Kita sudah pastikan bekalan barangan mencukupi walaupun dari segi harga kita masih dalam proses untuk selesaikan,” katanya pada program Jelajah Ziarah Korban Aidiladha parlimen Gombak di sini semalam.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/MB-500x333.jpg.webp)
Amirudin yang juga pengerusi Pakatan Harapan Selangor menambah Kerajaan Perpaduan berada di landasan yang betul dalam melaksanakan proses pemulihan negara.
“Di peringkat Kerajaan Negeri, kita ambil masa tiga hingga empat tahun untuk nampakkan hasil dari segi pencapaian manakala di peringkat pusat, walaupun hanya baru tujuh bulan kita sudah nampak perubahannya.
“Saya yakin rakyat kita bersikap rasional tapi kita masih perlu terangkan ini kerana ada pihak yang mengambil kesempatan sempena pilihan raya tidak lama lagi,” ucapnya.