SHAH ALAM, 3 JULAI: Majlis Talaqqi Kitab Turath Islami yang kembali membuka tirainya hari ini diteruskan dengan bacaan zikir khas selepas solat Maghrib di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam ini.
Dihadiri lebih 100 jemaah, majlis kemudiannya diteruskan dengan kuliah Maghrib yang disampaikan tokoh ulama dari Pattani Baba Ismail Sepanjang Al-Fathoni.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/bd9beea3-11d1-42fc-bdf3-8359f810f20c-500x333.jpg.webp)
Menerusi kuliah maghrib, Baba Ismail menekankan sikap hormat perlu diberikan kepada golongan ulama kerana ilmu mereka umpama lampu yang menerangi kehidupan gelap umat Islam.
“Kita sangat perlukan lampu seperti kita hidup di kampung (yang gelap) tanpa ada lampu. Kita tak suka sebab duduk dalam gelap. Samalah seperti hati kita akan jadi gelap kalau tidak ada alim ulama ajar agama.
“Ulama dapat pusaka ilmu Nabi. Bukan mudah nak dapat. Sebab itu bila sebut ulama, jangan sesekali kita hina. Sekarang akhir zaman ramai sebut ulama itu manusia. Samalah juga dengan Nabi. Nabi juga manusia. Jadi jangan hina ulama kerana ia merendahkan martabat Nabi,” katanya.
Program keagamaan yang dijadual berlangsung sehingga Rabu turut dihadiri Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Mohamad.
Terdahulu, Baba Ismail membuka tirai majlis berkenaan di masjid sama dengan menyampaikan kuliah Dhuha pada 8.45 pagi di hadapan hampir 100 jemaah.
Program keagamaan berkenaan merupakan kesinambungan Festival Turath Islami Selangor yang mula dianjurkan 20 Mei lalu.
Majlis julung kali yang berlangsung selama seminggu dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Profesor Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P-Syarahan-Sama-Sifat-10-500x333.jpg.webp)
Sebelum ini Baba Ismail pernah menghuraikan kitab karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam majlis prapelancaran festival turath di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar pada 1 Mei.
Festival tersebut bersempena penterjemahan 10 jilid Ihya Ulumuddin kepada bahasa Melayu mulai awal tahun ini yang digerakkan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).
Ia bertujuan menyemarak lagi minat umat Islam terhadap pemikiran al-Ghazali, ilmuan Islam pelbagai bidang yang berpengaruh ke serata dunia.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/05/P_Talaqqi-1-1-500x333.jpg.webp)