SHAH ALAM, 4 JULAI: Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang sedia membantu gerak kerja kempen pilihan raya negeri (PRN) meski tidak bertanding kali ini.
Dato’ Teng Chang Khim berkata beliau tidak hanya membantu calon di DUN Bandar Baru Klang sahaja sebaliknya mana-mana kerusi ditandingi Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Saya tidak nampak ancaman besar pada PRN kali ini kerana pentadbiran sedia ada membangunkan ekonomi, sosial negeri dengan baik.
“Kita capai tahap membanggakan malah negeri lain tidak dapat tandingi Selangor,” katanya kepada SelangorKini.
EXCO pelaburan itu juga yakin ekonomi terus kukuh walaupun selepas ini beliau tidak lagi terlibat dengan rancangan pentadbiran dan pembangunan negeri.
“Saya telah bina asas pembangunan yang kukuh termasuk strategi dan pelan tindakan menyeluruh. Saya percaya dan yakin pentadbiran baharu akan ikut perancangan dibuat supaya Selangor terus maju,” katanya.
Chang Khim menjadi wakil rakyat sejak 1995 pernah menjadi ketua pembangkang Selangor selain dilantik sebagai Speaker Dewan Negeri Selangor bagi penggal 2008 hingga 2013.