Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad (tiga, kiri) bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) Batang Kali menziarahi mangsa kemalangan di Taman Seroja, Bukit Sentosa pada 3 Julai 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
ADNSELANGOR

Mangsa kemalangan di Bukit Sentosa 2 akan dibantu dapatkan kos rawatan

OLEH NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 4 JULAI: Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor Batang Kali akan mengusahakan kos rawatan kepada mangsa kemalangan di persimpangan Taman Seroja, Bukit Sentosa 2, dua minggu lalu.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali berkata kos sebanyak RM4,000 akan diperolehi daripada Lembaga Zakat Selangor berikutan mangsa Norhayati Matzin adalah penerima zakat.

Menurut Saifuddin Shafi Muhammad di Facebook, mangsa yang ditemui pada program Ziarah Kasih memaklumkan mengalami kemalangan bersama dua anaknya sewaktu dalam perjalanan ke sekolah.

“Sedikit kurang bernasib baik, mereka sekeluarga belum berdaftar dengan Skim Insurans Am Selangor (INSAN). Saya mengambil kesempatan ini menggesa rakyat Selangor untuk berdaftar segera,” katanya.

Beliau juga turun ke lokasi kemalangan bersama ahli majlis Zon 19 dan 21 Majlis Perbandaran Hulu Selangor untuk berbincang tindakan lanjut berikutan simpang berkenaan berisiko tinggi.

“Saya ke kawasan kemalangan bagi membawa perkara ini ke mesyuarat Jabatan Infrastruktur. Cadangan yang akan dikemukakan adalah menambah bonggol dan tidak membenarkan pusingan U.

“Selain itu, kita juga minta memasang kon pembahagi untuk menghalang kenderaan bertembung,” katanya menambah perkara itu turut mendapat perhatian wakil rakyat Hulu Selangor Hasnizan Harun.

 

 


Pengarang :