Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat melaksanakan kerja baik pulih jalan menggunakan kaedah ‘mill and pave’ di Jalan Persiaran Puchong Permai, Subang Jaya pada 4 Julai 2023. Foto Twitter Infrasel
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Penuhi kemudahan ramai, kerja turap jalan diteruskan di Persiaran Puchong Permai

OLEH DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 4 JULAI: Projek Turapan Mega yang giat dilaksana di seluruh negeri sejak Mei lalu diteruskan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) di Jalan Persiaran Puchong Permai, Subang Jaya.

Syarikat penyelenggara jalan negeri itu memaklumkan kerja penurapan jalan di kawasan terbabit menggunakan kaedah membuang lapisan rosak dan menggantikan dengan yang baharu (mill and pave).

“Setakat hari ini, kerja baik pulih yang sedang dijalankan di Jalan Persiaran Puchong Permai, Subang Jaya kini sudah 40 peratus siap,” kata Infrasel di Twitter.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM50 juta bagi kerja penurapan jalan secara besar-besaran di seluruh Selangor bermula Mei lalu dalam meningkatkan kemudahan orang ramai.

Peruntukan tersebut sebagai tambahan kepada dana RM500 juta pada setiap tahun bagi menguruskan semua jalan negeri membabitkan sembilan daerah dengan jarak 94.9 kilometer.

Dijangka siap sepenuhnya hujung Julai ini, sebanyak 66 jalan akan diturap di Petaling, Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (8).

Sehingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksana Infrasel, yang dibaiki dalam tempoh 24 jam berdasarkan aduan orang ramai di Twitter.


Pengarang :