Pantai Morib yang ditutup sejak 15 Jun kembali dibuka kepada orang awam untuk kegiatan rekreasi dan perniagaan. Foto ihsan Majlis Perbandaran Kuala Langat
PBTSELANGOR

Pantai Morib dibuka semula kepada orang ramai mulai semalam

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pantai Morib yang ditutup sejak pertengahan bulan lalu akibat ribut dibuka kembali untuk aktiviti riadah dan perniagaan mulai semalam, maklum Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakatnya berkata pembukaan semula kawasan itu dipersetujui pengurusan tertinggi selepas menilai tahap keselamatan dan pembersihan dalam tempoh dua minggu.

Pihak berkuasa tempatan itu menjelaskan sebanyak 65 pokok tumbang dalam bencana pada 14 Jun lalu sudah dibersihkan manakala pembersihan sekitar Banglo Sri Pantai masih dilakukan.

“Sebahagian tunggul pokok tumbang tidak dapat dibersihkan sepenuhnya kerana dikhuatiri akan
mengakibatkan kerosakan struktur lain seperti longkang dan laluan pejalan kaki.

“Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan kacau ganggu kepada pengunjung. Kerja penanaman semula 22 pokok akan dilakukan secara berperingkat untuk permulaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu turut memberitahu kemudahan seperti tandas, kiosk dan gerai sudah dibaik pulih termasuk pendawaian semula, pembaikan bumbung kiosk penjaja serta tong sampah.

“Peniaga sudah boleh beroperasi semula seperti biasa dan penjaja kiosk boleh menggunakan khemah sementara bersaiz 10 kakix10 kaki,” katanya.

MPKL menjelaskan bekalan elektrik dan pendawaian lampu sepanjang laluan tepi pantai masih tidak beroperasi berikutan dalam proses pembaikan, sementara dua unit lampu tiang tinggi tidak terjejas.

 


Pengarang :