Penduduk membeli barangan keperluan asas seperti, beras, minyak, ayam, telur, ikan dan daging pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sungai Kandis, di Dewan MPKK, Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pengunjung kali pertama ke jualan murah teruja, harga murah banding pasaran

SHAH ALAM, 4 JULAI: Pengunjung yang pertama kali ke Jualan Ehsan Rahmah (JER) teruja apabila berbelanja tidak sampai RM100 untuk membeli lima barangan asas.

Bagi Mohd Faiz Jakaria, 32, program di Dewan MPKK Kampung Lombong dekat sini itu menawarkan penjimatan yang tidak disangkanya.

Mohd Faiz Jakaria, 32, ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sungai Kandis di Dewan MPKK, Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Menurutnya ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke jualan murah itu selepas kerap mendengar maklum balas positif daripada jiran.

“Sebelum ini tidak ada masa untuk pergi disebabkan faktor kerja dan selepas mendengar daripada jiran rata-ratanya kata barangan di sini murah.

“Jadi, hari ini saya ambil kesempatan berkunjung ke sini dan tak sangka banyak barang diperoleh antaranya ayam, daging, telur, ikan dan beras dengan jumlah keseluruhan tidak sampai RM100,” katanya ditemui pada program JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di sini hari ini.

Sementara itu, Sahmuddin Mohd Yunus, 63, berkata jualan murah itu dinantikan sejak diadakan di DUN berkenaan kerana harga barangannya murah dan mampu beli.

Sahmuddin Mohd Yunus, 63, ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sungai Kandis, di Dewan MPKK, Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Saya kerap berkunjung ke JER setiap kali ia dianjurkan di kawasan berhampiran rumah. Barangannya murah dan menjimatkan menjadi salah satu sebab saya suka membeli di sini.

“Saudara-mara saya yang duduk di luar Selangor pun cemburu dengan jualan murah anjuran negeri ini kerana di tempat mereka tiada jualan seperti ini,” katanya.

Nurul Bilat Nawir, 55, turut memuji barangan di JER bukan sahaja murah tetapi sangat berkualiti termasuk bahan basah yang segar.

“Alangkah baik jika selepas ini Kerajaan Negeri membenarkan kami beli telur lebih sepapan berbanding ketika ini hanya sepapan,” katanya.

Nurul Bilat Nawir, 55, ditemui pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sungai Kandis, di Dewan MPKK, Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Jualan murah itu adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Kos Sara Hidup.

Ketua pegawai eksekutif PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata seramai empat juta penduduk Selangor menerima manfaat JER sejak dianjurkan pada September tahun lalu hingga kini.

Jualan murah berkenaan turut memberi penjimatan RM23 juta menerusi pemberian subsidi oleh Kerajaan Negeri dan PKPS menerima jumlah jualan RM45 juta dalam tempoh sama.

Wania Hasbullah, 63 (kiri) bersama Habbatunnaja Halil, 48, membeli barangan keperluan asas seperti, beras, minyak, ayam, telur, ikan dan daging pada program Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Sungai Kandis, di Dewan MPKK, Kampung Lombong, Shah Alam pada 4 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :