Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Tekad Pendidikan Kita Selangor (PTRS) di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri, Shah Alam pada 18 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Elak beban rakyat, tiada keputusan naikkan tarif air di Selangor

SHAH ALAM, 4 JULAI: Tiada keputusan untuk menaikkan tarif air di Selangor bagi mengelakkan rakyat terbeban, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjelaskan tarif air adalah perkara dasar yang memerlukan keputusan dan kelulusan Kerajaan Negeri tetapi tiada sebarang ketetapan dibuat sehingga kini.

“Fokus utama pentadbiran ini adalah untuk menyokong usaha kelangsungan ekonomi rakyat dan bukannya membebankan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Kerajaan Selangor komited memastikan sistem perkhidmatan yang menyalurkan air kepada lebih 8.4 juta penduduk negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya terus diperkukuh.”

Kenyataan itu mengulas laporan media yang mendakwa tarif air di Lembah Klang mungkin naik tahun ini bagi memastikan keseimbangan antara hasil dan perbelanjaan syarikat pengurusan air.

Ketika ini, bayaran untuk pelanggan domestik ditetapkan 57 sen setiap meter padu untuk 20m³ pertama, RM1.03 untuk 15m³ seterusnya dan RM2 bagi penggunaan melebihi 35m³.

Tahun lalu, purata tarif air dinaikkan sebanyak 20 sen bagi setiap meter padu untuk kategori pelanggan bukan domestik termasuk dalam sektor industri dan perniagaan.


Pengarang :