AGENDANASIONAL

Mansuh 80 peratus hutang peneroka Felda ringankan beban, pulih aliran tunai

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion hasil perjanjian ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, adalah berita sangat dinantikan-nantikan peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seluruh negara yang terjejas akibat ketidaktentuan harga sawit dan getah.

Langkah tersebut mampu meringankan beban golongan itu selain memulihkan aliran tunai peneroka untuk menampung kos sara hidup mereka.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan pada 28 Jun memaklumkan Anwar merangkap Menteri Kewangan, menandatangani perjanjian melibatkan Jaminan Kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi itu dengan sebahagian besar melibatkan pengurangan prinsipal hutang Felda bersama institusi kewangan sebanyak RM7.9 bilion.

Perjanjian itu akan mengurangkan kos kewangan Felda terhadap kadar faedah yang dikenakan serta membolehkan Felda memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion yang dilaksanakan pada 2021.

Menurut MoF, kerajaan telah bersetuju memberi Jaminan Kerajaan kepada Felda pada 2019 bagi membolehkan agensi tersebut melaksanakan pelan pemulihannya di bawah program transformasi yang bermula pada 2020 untuk tempoh lima tahun.

Peneroka Felda Kemahang di Tanah Merah, Kelantan, Azizan Ismail, 35, berkata langkah pemansuhan itu pastinya memberi kelegaan kepada peneroka yang terjejas dengan kos penyelenggaraan tanaman sawit sentiasa meningkat manakala harga pasaran komoditi itu tidak konsisten menyebabkan peneroka terus dibelenggu hutang.

Di Kedah, peneroka Felda Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam, Ahmad Man, 65, yang menetap di Felda itu selama 40 tahun berkata pemansuhan 80 peratus hutang itu dianggap rahmat besar kepada peneroka kerana dapat meringankan beban untuk menyelesaikan hutang.

“Hutang asal saya anggaran kira-kira RM180,000, dan bila kerajaan umum ada pemansuhan 80 peratus hutang ini menjadikan baki hutang saya ada lebih kurang RM30,000.

“Ini tanda kerajaan memang sentiasa fikirkan tentang nasib peneroka Felda, (dapat) ringankan beban saya termasuk dalam memenuhi keperluan keluarga,” katanya sambil menambah bahawa bayaran balik bulanan hutang beliau kini hanya RM130 sebulan berbanding lebih RM1,000 sebulan sebelum pemansuhan itu.

Di Selangor, peneroka Felda Gedangsa, Kuala Kubu Bharu, Zainudin Ibrahim, 61, berkata inisiatif itu adalah langkah tepat dan dilihat dapat memberi kelegaan buat peneroka yang berhadapan dengan masalah harga sawit yang sedang menurun.

“Sebagai peneroka saya sangat setuju… pemotongan ini juga dibuat pada masa sangat tepat, dengan keadaan sekarang hasil kita kurang serta harga sawit juga sedang turun.

“Harga jualan sawit tahun ini merosot kepada sekitar RM700 bagi satu metrik tan berbanding RM1,800 pada tahun lepas. Walaupun hasil kelapa sawit agak banyak, masih ada lagi peneroka mengalami defisit berikutan harga sawit agak rendah tahun ini,” katanya yang menyertai Felda sejak 18 Mac 1962.

Peneroka Felda di Kota Tinggi, Johor, Suradi Marjune, 60, juga menzahirkan kesyukuran atas keprihatinan kerajaan dalam melaksanakan pemansuhan berkenaan sekali gus dapat mengurangkan beban golongan itu.

“Secara tidak langsung kita peroleh pendapatan bulanan yang lebih serta kebajikan kembali terjaga, dengan penstrukturan semula ini… dapatlah kita berjimat lebih-lebih lagi dalam berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi,” kata bapa kepada lapan anak itu.

Bagaimanapun, beliau yang tinggal di Felda itu sejak 40 tahun lalu, mencadangkan agar satu sesi penerangan diadakan di kawasan Felda supaya lebih ramai peneroka maklum mengenai pemansuhan itu.

Di Melaka, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Tun Ghafar Menggong Ismail Ab Rahman berharap penerangan yang lebih jelas dilakukan tentang mekanisme pelaksanaan Penstrukturan Semula Felda yang diumumkan baru-baru ini.

Beliau berkata kebanyakan golongan peneroka termasuk dirinya masih samar tentang penstrukturan semula itu dan mereka memerlukan sesi libat urus bersama pelaksana inisiatif berkenaan bagi menjelaskan ‘kertas putih’ pelaksanaannya.

Felda ketika ini mempunyai lebih 120,000 peneroka di 317 tanah rancangan di seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :