Oleh JULIANA JOHAR
SHAH ALAM, 5 JULAI: Penyanyi rock popular 80-an Yantzen, 65, menolak untuk menyanyikan lagu-lagu berunsur cinta yang dilihat tidak lagi sesuai dengan usianya.
Sebaliknya vokalis Rusty Blade berkata dirinya lebih terbuka untuk mendendangkan lagu-lagu ketuhanan berbanding lirik merintih serta putus cinta.
“Bila dapat lirik pasal cinta, memang saya tolak.. saya lebih tumpukan kepada lagu-lagu ketuhanan. Yang (lagu) cinta-cinta tu bagilah kepada penyanyi generasi baharu.
“Lagu-lagu cinta dah tak sesuai dengan (usia) saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Semangat Zaman di Kota Permai Golf & Country Club di sini semalam.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/1200_SZ5-500x320.jpg.webp)
Bakal tampil dengan single baharu, Yantzen atau nama sebenarnya Yantzen Juniwan berkata lagu berkenaan menceritakan tentang ketuhanan seperti lagu hitnya sebelum ini, Insan.
“Kalau ada lagu baharu memang saya nak yang bercirikan ketuhanan dan kemanusiaan.
“Saya akan keluar dengan single baharu, nanti dengarkan liriknya berunsurkan ketuhanan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/07/1200_SZ2-500x343.jpg.webp)
Selain Yantzen, tujuh lagi artis antaranya Aris Ariwatan, Rahmad Mega, Jatt Ali dan Muss bakal mengegarkan Zepp, Kuala Lumpur pada 29 September.
Konsert Sepanjang Zaman 20th Anniversary Rock Will Never Die anjuran Semangat Zaman Music Entertainment turut menampilkan Joey BPR, Bandi Amuk dan Dato Nash.
Tiket berharga RM208 hingga RM328 akan mula dijual pada 15 Julai ini di my.bookmyshow.com