Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) bersorak apabila mendengar amanat dari pimpinan HARAPAN ketika Ceramah Mega HARAPAN Gombak sempena pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Pinggiran Batu Caves, Gombak pada 17 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ramai rakyat puas hati, HARAPAN yakin pertahan tiga negeri

SEREMBAN, 5 JULAI: Pakatan Harapan (HARAPAN) optimis gabungan bersama Barisan Nasional (BN) dapat memperkukuhkan sokongan, sekali gus membolehkan ia mempertahankan kemenangan bagi tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang menjelang pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli berkata hasil kaji selidik dan data setiap bulan mendapati, tahap kepuasan pengundi terhadap pentadbiran kerajaan HARAPAN di ketiga-tiga negeri terbabit adalah tinggi,

Beliau berkata Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Aminuddin Harun meraih peratusan tertinggi iaitu 75 peratus, satu petanda positif dalam potensi bagi mempertahankan negeri berkenaan.

“Mengikut data daripada Januari hingga Mei, antara soalan paling biasa ditanyakan kepada pengundi dalam kaji selidik itu, adakah mereka menyokong dan berpuas hati dengan kerajaan negeri sedia ada ini?

“Sebanyak 75 peratus pengundi di Negeri Sembilan menjawab, mereka berpuas hati dengan kerajaan negeri yang ada sekarang ini iaitu peratusan paling tinggi daripada keenam-enam negeri, kita doakan keadaan ini berterusan,” ketika berucap pada program Ceramah Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat di sini malam tadi.

Rafizi berkata meskipun tidak memperincikan data bagi negeri-negeri lain, beliau optimis tahap kepuasan hati yang tinggi ditunjukkan oleh pengundi terutamanya bagi pengundi berusia 30 tahun ke atas memberikan petunjuk positif HARAPAN akan kekal menerajui negeri berkenaan.

Turut mengadakan PRN kali ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan yang ditadbir oleh PAS.

Sementara itu Aminuddin dalam ucapannya berkata selaras dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan, kekuatan HARAPAN dan BN di negeri itu diyakini kukuh untuk terus mentadbir serta memacu ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata HARAPAN dan BN akan turun berkempen di semua kawasan yang ditandingi kedua-dua gabungan itu bagi menggandakan usaha memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan.

— BERNAMA


Pengarang :