AGENDANASIONAL

Karnival Perpaduan Madani promosi program kebajikan rakyat di Bangi 7 Julai

SHAH ALAM, 5 JULAI: Jualan barangan asas murah Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dan saringan kesihatan percuma antara inisiatif negeri yang dipromosi dalam Karnival Perpaduan Madani Kita Selangor, Jumaat ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) berkata program kebajikan lain ialah edaran kupon PLATS Rahmah, Skim Mesra Usia Emas dan Skim Insurans Hayat Selangor.

“Karnival ini pamerkan kejayaan Kerajaan Negeri sejak 2018. Orang ramai digalakkan hadir kerana kita ada hadiah motosikal untuk cabutan bertuah,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi.

Program mulai jam 3 petang hingga 8 malam itu dijadual berlangsung di Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi (berhadapan Hotel Tenera).

JER yang dimulakan akhir tahun lalu diteruskan hingga Disember dengan tawaran harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran untuk membantu penduduk berpendapatan rendah berjimat.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), anak syarikat Kerajaan Negeri, mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta sejak pelaksanaannya.

Saringan kesihatan percuma atau Selangor Saring yang diperkenal tahun lalu pula membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga.

Membabitkan kos RM3.4 juta yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri, peserta boleh menjalani saringan air kencing, mata, barah pangkal rahim, payu dara dan prostat serta ujian darah.

 


Pengarang :