Vokalis Nitrus Syed Helmy Alhabshi membuat persembahan ketika sidang media Gig Rakyat Jelata di KedaiKopiKL Ampang pada 5 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Nitrus bakal kembali, tampil karya baharu warnai industri hiburan

Oleh JULIANA JOHAR

AMPANG JAYA, 6 JULAI: Setelah hampir 10 tahun ‘mendiamkan diri’, kumpulan Nitrus bakal kembali memeriahkan industri hiburan dengan penghasilan karya-karya baharu.

Vokalisnya Syed atau Syed Helmy Alhabshi, 52, berkata akan terus menggerakkan Nitrus selain bersyukur kerana masih lagi mendapat tawaran persembahan yang tidak putus-putus dari pihak penganjur konsert.

“Alhamdulillah, tahun ini kami sudah mula kembali jayakan tawaran persembahan. Satu demi satu tawaran kami terima dan pada masa sama kembali kerjakan karya yang tergendala lama.

“Buat masa ini, kami masih lagi dalam proses memasukkan anggota baharu. Kami akan pastikan Nitrus akan terus hidup dalam industri hiburan,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert Gig Rakyat Jelata di Kedai Kopi KL, di sini semalam.

Nitrus bergambar bersama barisan band tempatan yang terlibat dalam persembahan di Gig Rakyat Jelata selepas selesai sidang media di KedaiKopiKL Ampang Jaya pada 5 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Syed turut mengatakan penyanyi generasi baharu lebih bertuah kerana dapat mengumpul ramai peminat termasuk dari luar negara seiring dengan kecanggihan teknologi masa kini selain dapat meraih keuntungan menerusi karya yang dihasilkan.

“Penyanyi generasi muda dan baharu lebih beruntung sebab muzik mereka dapat diterima ramai peminat dari seluruh dunia dengan adanya pelbagai platform perkongsian seperti YouTube dan Spotify.

“Macam kami, peminat kerap bertanya kenapa tidak jumpa lagu kami misalnya di Spotify dan cuma terpaksa mendengarnya di YouTube, memang rasa rugi sangat tidak mulakan dari dulu,” katanya yang mengakui menyesal tidak bertindak awal meletakkan koleksi lagu mereka di platform digital.

“Saya pula berfikir proses untuk letakkan lagu-lagu kami di platform digital adalah sukar (pada ketika itu).

“Padahal dalam tempoh itu jumlah penstriman patutnya terkumpul banyak jika dibuat sejak dulu. Kalau saya buat perkiraan sendiri, pendapatan yang mampu kami raih pasti sangat tinggi,” katanya lagi.

Foto barisan anggota band Nitrus dimuat naik di Facebook mereka pada 11 Mei 2013

Selain Syed, Nitrus yang ditubuhkan pada 1999 turut dianggotai Bob. Kumpulan itu cukup popular dengan lagu Kamu dan Resah.

Nitrus antara sebahagian band yang bakal memeriahkan Gig Rakyat Jelata yang dijadual berlangsung di dua lokasi di Ipoh pada 22 Julai dan Johor Bahru (26 Ogos).


Pengarang :