Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melakukan simbolik perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada 6 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Keluarga serah lebih 10,000 koleksi buku Allahyarham Siddiq Fadzil kepada Unisel 

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA SELANGOR, 6 JULAI: Keluarga Allahyarham Profesor Dato’ Siddiq Fadzil berbesar hati menyumbang lebih 10,000 koleksi buku peribadi tokoh ilmuan itu kepada Universiti Selangor (Unisel) bagi memastikan buah pemikirannya terus hidup untuk manfaat masyarakat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang juga anak kepada tokoh ilmuan berkenaan berterima kasih kepada Unisel kerana menyediakan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil untuk menempatkan koleksi buku berkenaan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap pada Perasmian Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada 6 Julai 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya berterima kasih kepada Unisel atas kewujudan perpustakaan pemikiran ini dan saya harap khazanah ilmu dan pemikiran (Dato’ Siddiq Fadzil) akan beri manfaat kepada rakyat khususnya di Selangor.

“Ini adalah usaha Unisel sendiri untuk pastikan pemikiran Allahyarham terus hidup dan dibincangkan khususnya gagasan pendidikan al-Hikmah yang sangat penting bila kita bercakap mengenai pendidikan,” katanya selepas merasmikan perpustakaan berkenaan di Unisel Kampus Bestari jaya di sini.

Orang ramai melihat pameran di Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya pada 6 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu, Naib Canselor Unisel Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman dalam ucapannya berkata Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil diwujudkan bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham.

“Perpustakaan ini menyimpan khazanah ilmu dan koleksi peribadi Allahyarham selain turut menempatkan koleksi beberapa tokoh akademik lain.

“Usaha ini bukan sahaja bertujuan mengangkat pemikiran Allahyarham sebaliknya turut menyediakan tempat yang kondusif untuk memelihara khazanah yang tidak ternilai agar dapat dimanfaatkan semua pihak termasuk pelajar, pengkaji dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Foto bangunan Perpustakaan Peringatan Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya diambil pada 6 Julai 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :