EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni (dua, kanan) ketika menerima plak Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal pada majlis Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2022 (WHEA 2022) pada 5 Julai 2023. Foto Facebook Halal Development Corporation Berhad
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Usaha Selangor promosi industri halal diiktiraf, raih anugerah cemerlang

SHAH ALAM, 6 JULAI: Selangor menerima Anugerah Kecemerlangan Prestasi Negeri Halal pada penganjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) susulan kejayaan mempromosi industri itu.

Pengiktirafan sempena Anugerah Kecemerlangan Halal Dunia 2022 (WHEA 2022) disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni malam tadi.

HDC yang merupakan agensi bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian memaklumkan Selangor giat merangsang pelaburan industri terbabit selain menggalakkan pensijilan halal.

“Malaysia merupakan hub halal global dan negeri-negeri giat mengembangkan ekonomi industri ini. Tahun ini Selangor dipilih sebagai penerima bagi mengiktiraf kecemerlangannya,” katanya menerusi kenyataan.

WHEA 2022 turut mengiktiraf beberapa organisasi antaranya F&N Holdings Bhd dan Agym Nutrition Sdn Bhd (Anugerah Kecemerlangan Makanan dan Minuman Halal) dan Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai McDonald’s menerima Anugerah Kecemerlangan Jenama Terkemuka Halal (Antarabangsa).

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (berdiri tengah) bergambar bersama peniaga dari Selangor selepas melawat rerurai pempamer Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Beberapa tahun ini, Selangor giat mempromosi industri halal termasuk penganjuran program bertaraf antarabangsa bagi terus mengukuhkan industri terbabit.

Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) diperkenalkan tahun lalu di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dengan penyertaan lebih 200 pempamer dan merekodkan transaksi sebanyak RM37.73 juta.

Manakala Selhac tahun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) mencatat transaksi bernilai RM57.4 juta, sekali lagi mengatasi sasaran RM50 juta.

Menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Kerajaan Negeri melaksana Pelan Tindakan Halal Selangor (SELHAP) 2020-2030 merangkumi 10 inisiatif antaranya Platform Maklumat Pusat (CIP), Operator Halal Diperakui (AHO), Promosi Halal Selangor, Pembiayaan Halal Selangor dan Zon Ekonomi Halal Selangor.

 


Pengarang :