Orang ramai hadir bagi melakukan semakan di kaunter di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya pada 19 Oktober 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PRN: MB ajak rakyat Selangor layak undi pos daftar segera

SHAH ALAM, 6 JULAI: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat Selangor yang layak untuk mengundi pos segera mendaftar di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

“Anda berhak, suara anda didengari bagi menentukan lima tahun lagi untuk Selangor yang bermaruah, bermartabat, mampan dan kekal berdaya tahan.

“Justeru kepada mereka yang layak sebagai pengundi pos sila lawati laman sesawang SPR dan daftar diri anda sebagai pengundi pos,” katanya menerusi rakaman video di Twitter hari ini.

Semalam Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan 12 Ogos sebagai hari mengundi bagi PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, dan Negeri Sembilan.

Hari penamaan calon bagi keenam-enam negeri pula ditetapkan pada 29 Julai, sementara pengundian awal pada 8 Ogos dengan tempoh berkempen selama dua minggu.

SPR turut memaklumkan urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka mulai 15 Jun dan tarikh tutup bagi kategori 1B iaitu warganegara Malaysia yang berada di luar negara adalah 8 Julai.

Manakala bagi kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media adalah pada 26 Julai dan kategori 1C agensi atau organisasi adalah 11 Julai.

Permohonan undi pos bagi semua kategori dilaksanakan secara dalam talian di https://www.spr.gov.my/ms/permohonan-undi-pos-pru-dun-ke-15.


Pengarang :