AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 15,000 aduan menerusi i-Clean Selangor selesai dalam 24 jam

SHAH ALAM, 6 JULAI: Hampir 15,000 aduan berkaitan kutipan sisa pepejal menerusi aplikasi i-Clean Selangor diselesaikan dalam tempoh 24 jam selepas dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu sekali gus membuktikan kecekapan pengurusan sisa pepejal dan sampah di Selangor.

“Tahun lepas 36,800 kes diselesaikan satu peningkatan berbanding 30,949 kes pada 2021 meliputi kutipan sampah domestik, kutipan sampah pukal dan pembersihan awam.

“Gerak kerja yang dilaksanakan KDEB Waste Management (KDEBWM) wajar dihargai,” katanya di Twitter hari ini.

Amirudin berkata untuk menikmati perkhidmatan cemerlang disediakan Kerajaan Negeri menerusi aplikasi aduan pembuangan sampah itu, rakyat Selangor diseru menggunakannya.

“Rakyat Selangor boleh gunakan aplikasi ini. Lebih 100,000 pengguna berdaftar aktif sedang memanfaatkannya,” katanya.

Beliau berkata i-Clean Selangor adalah inisiatif Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam menyelesaikan masalah pembuangan sampah secara pukal serta aduan mengenai sampah.

Sebelum ini Amirudin berkata aplikasi itu memudahkan penduduk mengemukakan aduan pembersihan di kawasan mereka selain memohon perkhidmatan pembuangan sampah pukal.

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi itu di Google Play dan App Store selain menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-2824/019-375 9592 atau WhatsApp (019-2742824) supaya aduan diurus dengan lebih cepat dan tepat.


Pengarang :