Pakar Perlembagaan Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz bercakap kepada media selepas membentangkan kertas kerja pada Konvesyen Pengukuhan Akidah Islam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 6 Julai 2023. . Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pakar: Institusi kekeluargaan stabil penentu masa depan negara

SHAH ALAM, 6 JULAI: Institusi kekeluargaan yang stabil merupakan asas utama masyarakat berjaya bahkan penentu masa hadapan sesebuah negara, kata pakar perlembagaan.

Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz menyeru pemimpin di setiap peringkat memberi perhatian bagi memastikan institusi berkenaan dibentuk sebaiknya.

“Saya cadangkan institusi keluarga diberi perhatian oleh pemimpin kerana sesebuah negara itu bermula dengan keluarga.

“Individu dalam keluarga perlu dididik dengan akidah. Apabila rakyatnya baik, undang-undang itu akan berfungsi dengan sendirinya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Pakar Perlembagaan Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berucap di hadapan lebih 600 peserta Konvensyen Pengukuhan Akidah Islam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri, Shah Alam pada 6 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau membentangkan kertas kerja pada Konvesyen Pengukuhan Akidah Islam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri di sini, hari ini.

Konvesyen tahunan dengan tema Memartabatkan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dihadiri lebih 600 peserta yang terdiri daripada kakitangan awam, pelajar dan pemimpin masyarakat.

Sementara itu, Dr Shamrahayu berkata tiada keperluan membentuk enakmen baharu bagi menguatkuasa prinsip ASWJ di negeri ini.

Menurutnya, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai ketua agama dalam memartabatkan nilai Islam sudah memadai kepada masyarakat muslim.

“Setakat ini, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sudah memadai. Saya percaya titah diraja boleh membentuk satu cara untuk kita tetapkan apakah maksud Islam.

“Sekiranya Baginda menyatakan ASWJ sebagai fahaman yang perlu diterima pakai di Selangor, saya percaya itulah yang harus ditegakkan dan diamalkan,” katanya.


Pengarang :