Sekitar sesi walkabout Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia di Muzium Negara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2023. Foto Facebook Jabatan Muzium Malaysia
AGENDANASIONAL

Pameran sejarah filem di Muzium Negara, lebih 100 koleksi seni ditampil

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Bermula dengan filem hitam putih, dunia perfileman kini semakin berkembang selari dengan revolusi pemodenan dan perkembangan era digital, menyebabkan lebih ramai generasi hari ini lebih berfokus kepada karya yang berasaskan digitalisasi berbanding era sebelumnya.

Menyedari kurangnya pengetahuan anak muda mengenai sejarah awal industri perfileman tanah air, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia (JMM) tampil menganjurkan ‘Pameran 100 Tahun Sinema Malaysia’ yang kini sedang berlangsung di Muzium Negara, di sini, sehingga 23 Julai ini.

Kurator Bahagian Pameran dan Pengembangan JMM Juhazniza Musa berkata pameran itu diadakan bagi mengangkat martabat dan meraikan sejarah perfileman negara yang telah bermula sejak awal 1930-an.

“Pameran ini memperkenalkan sejarah perfileman di Malaysia daripada pelbagai aspek antaranya kemunculan kamera filem di Tanah Melayu pada awal tahun 1920-an, terbitnya filem cereka pertama (senyap dan tanpa suara) sehingga perkembangan industri pempamer dan penerbitan.

“Ia turut menyentuh mengenai penggunaan teknologi perfileman, tokoh atau individu yang terbabit sama ada pengarah, penerbit, seniman atau seniwati daripada pelbagai kaum, filem pecah panggung termasuklah yang dianggap malar segar dan diterima sepanjang zaman,” katanya kepada Bernama.

Juhazniza berkata terdapat 109 koleksi yang dipamerkan berkaitan sinema tempatan yang boleh dilihat secara dekat antaranya kerusi pengarahan milik Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, alatan produksi perfileman tahun 1940-an, pelbagai jenis trofi yang dimenangi dalam Festival Filem Asia, poster filem era 1980-an hingga 1990-an, pelbagai jenis kostum selain koleksi peribadi Allahyarham Datuk Aziz Sattar, Allahyarham Datuk Jamil Sulong dan seniwati Datuk Rosnani Jamil.

Beliau berkata JMM turut meminjam koleksi berkaitan sinema di Malaysia daripada pelbagai agensi antaranya Arkib Negara Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), World Cultural Organization, SIAR dan pemilik individu.

Menurutnya, JMM mempunyai komitmen dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam memelihara dan memulihara koleksi negara sesuai dengan fungsinya sebagai gedung khazanah sejarah, warisan budaya dan alam semula jadi negara.

“Inilah masanya untuk kami meuar-uarkan atau memberi maklumat kepada pengunjung atau masyarakat berkenaan sejarah perfileman negara.

“Jadi, adalah menjadi harapan kami agar lebih ramai pengunjung datang melawat pameran ini kerana JMM mempamerkan koleksi berkaitan perfileman yang jarang dilihat dan hanya eksklusif di sini sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Juhazniza berkata pameran itu juga mengajak masyarakat untuk menghargai seni budaya pelbagai bangsa, kaum dan agama di negara ini.

“… ini dapat direalisasikan dengan menjadikan filem sebagai satu platform yang boleh memupuk serta menyemarakkan semangat perpaduan dan cinta kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Rosnani atau lebih mesra disapa Mak Nani, 87, berharap pameran seumpama itu dapat ditambah baik pada masa depan apabila turut memberi perhatian terhadap semua legasi perfileman.

“Saya lihat tiada satu pun gambar atau barangan milik pelakon era 1940-an seperti Allahyarhamah Kasmah Booty, Allahyarham Datuk S. Roomai Noor dan Allahyarhamah Siput Sarawak yang terlebih dahulu terbabit dalam bidang perfileman di negara ini, dipamerkan.

“Pihak penganjur perlulah berusaha untuk menghubungi keluarga atau waris pelakon berkenaan. Soalnya begini. Hendak atau tak nak. Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak apakan daya. Ini sejarah. Pameran ini sudah cantik (bagus) cuma masih ada yang belum cukup,” katanya.

Bagi penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam, 69, pula mencadangkan agar pameran seperti ini dianjurkan setiap satu dekad bagi memberikan lebih informasi kepada generasi baharu mengenai sejarah perfileman negara.

“Setiap 10 tahun atau satu dekad harus dibuat pameran sebegini supaya generasi baharu ini tidak lupa,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :