Penyandang kerusi DUN Kajang Hee Loy Sian ketika kunjungan ke Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat, Sungai Sekamat, Kajang bagi meninjau beberapa permasalahan struktur yang rosak serta penambahbaikan untuk keselesaan murid pada 16 Jun 2023. Foto Facebook Hee Loy Sian
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Kajang belanja lebih RM1 juta baik pulih kemudahan sekolah

SHAH ALAM, 9 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang memperuntuk lebih RM1 juta bagi kerja membaik pulih dan menaik taraf prasarana beberapa sekolah di kawasan itu.

Penyandang kerusi DUN Kajang Hee Loy Sian berkata antara kemudahan dinaik taraf sejak 2018 termasuk tandas, bumbung, kelas, jalan raya dan parkir kenderaan.

“Memang kita menyalurkan keperluan kalau ada sekolah memohon. Walaupun tidak dapat menampung semua peruntukan yang diminta kita akan cuba menyumbang jumlah yang munasabah untuk membantu.

“Antara bantuan yang disalurkan termasuk peruntukan baik pulih tandas, bumbung, kelas, binaan kelas baharu, infrastruktur jalan serta parkir kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

Loy Sian berkata untuk tahun ini, lebih RM200,000 diperuntukkan.

“Ini bagi memastikan pelajar dapat belajar dengan selesa kerana ada sekolah yang sudah berusia puluhan tahun dan perlu penyelenggaraan beberapa kemudahan dan prasarana.

“Selama ini kita memang alu-alukan pentadbiran sekolah untuk membuat permohonan sekiranya mereka memerlukan bantuan dan kita cuba bantu mana yang termampu,” katanya.

Semalam Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan bernilai RM26.5 juta diagih kepada 988 institusi pendidikan pelbagai aliran termasuk sekolah kebangsaan di Selangor sepanjang tahun ini, tertinggi dalam tempoh 14 tahun.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif yang dimulakan sejak 2009 bertujuan menyediakan persekitaran selesa kepada guru dan murid.


Pengarang :