Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (tengah) bersama penerima Simkad Pakej Perpaduan pada Majls Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat pada 9 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pusat ekonomi digital bantu usahawan promosi perniagaan, raih untung lumayan

KUALA LANGAT, 9 JULAI: Peranan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dalam membantu mempromosikan perniagaan menjadikan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan pastri dan bakeri di Kampung Sungai Lang, di sini mampu meraih pendapatan lima angka sebulan.

Pemilik Brilliant Chocolate Mazliana Mohein, 45, berkata peranan PEDi dalam membantu mempromosikan produk dan lokasi perniagaan sehingga tahap kini juga tidak dapat disangkal berikutan jumlah keuntungan yang dicapai olehnya berbeza sebelum beliau menyertai program-program yang dilaksanakan bawah pusat itu.

Kata ibu kepada empat anak itu, pada permulaan perniagaannya, dia hanya mampu meraih sekitar RM6,500 sebulan sebelum “berkenalan” dengan PEDi Kampung Kundang dan PEDi Kanchong Darat di sini untuk mempromosikan perniagaannya dalam talian.

“Sekitar 2015, saya mula mempromosikan produk bakeri menggunakan perkhidmatan di PEDi dan pendapatan saya terus meningkat kepada RM30,000 tahun itu malah dianugerahkan Usahawan Internet Terbaik 2017 bagi Wilayah Tengah.

Hasil belajar mempromosikan produk bakeri sudah semestinya mengubah perniagaan saya dengan sebelum ini saya hanya memiliki dua kakitangan malah bertambah kepada tujuh orang kini,” katanya ketika ditemui Bernama di PEDi Kanchong Darat sempena Hari Bersama Komuniti PEDi yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Katanya selain daripada membantu peserta dan usahawan menggunakan media sosial dalam mempromosikan produk, Mazliana berkata beliau turut diajar menggunakan aplikasi dalam menghasilkan video dalam memasarkan produk secara percuma.

“Kakitangan di sini membantu kita daripada tidak tahu apa-apa sehingga kita mampu menghasilkan video. Malah mereka juga memang menjadi rujukan sekiranya saya kurang pasti mengenai sesuatu berhubung sistem komputer,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap pada majlis Hari Bersama Komuniti Pusat Ekonomi Digital (PEDi) di PEDi Kanchong Darat, Kuala Langat pada 9 Julai 2023. Foto Facebook Fahmi Fadzil

Terdahulu Fahmi dalam ucapannya berkata kesemua PEDi yang diwujudkan di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilengkapi dengan akses Internet, bimbingan dalam penggunaan teknologi digital, latihan keusahawanan dan latihan ICT untuk membantu usahawan setempat menggunakan platform digital dalam operasi perniagaan masing- masing.

Katanya sehingga kini, sejumlah 48 buah PEDi telah dibangunkan dan beroperasi di Selangor dan beliau menyeru semua penduduk yang tinggal di sekitar PEDi Kanchong Darat untuk memanfaatkan peluang yang disediakan untuk merancakkan lagi ekonomi digital setempat.

Malah katanya, kejayaan Mazliana itu juga perlu dijadikan inspirasi untuk mana-mana pihak mengikuti latihan asas keusahawanan di PEDi malah dibimbing untuk membuat jualan secara dalam talian di media sosial.

Sementara itu Fahmi dalam catatan di Facebooknya berkata kejayaan Mazliana meningkatkan jualannya disebabkan usahawan itu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan PEDi.

“Akses internet bimbingan dalam penggunaan teknologi digital, latihan keusahawanan dan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) antara kemudahan yang disediakan di PEDi. Insya-Allah menjelang hujung tahun ini, inisiatif yang saya umumkan iaitu 1 DUN 1 PEDi akan dicapai. Melalui inisiatif ini, lebih ramai usahawan digital dapat dilahirkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :