Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual lebih murah dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 500 penduduk manfaat program jualan murah, jimatkan belanja dapur

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

GOMBAK, 9 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves di sini mendapat sambutan apabila lebih 500 pengunjung hadir.

Malah ada antara mereka beratur seawal jam 7 pagi untuk membeli barangan asas pada harga murah dalam program berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama orang ramai dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua Shanmugam Batumalay berkata semua barangan habis dijual dalam tempoh kurang dua jam selepas program bermula 10 pagi.

Menurutnya program JER yang dilaksanakan di 50 lokasi DUN Sungai Tua dari Januari 2023 sehingga hari ini memanfaatkan lebih 20,000 penduduk.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan malah ramai penduduk mahu inisiatif JER diteruskan terutama dalam kalangan B40.

“Dalam program hari ini 500 ekor ayam, 300 pek ikan, 300 papan telur, 300 pek daging, 300 kampit beras dan 150 pek minyak habis terjual dalam tempoh kurang dua jam,” katanya ketika ditemui.

Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua Shanmugam Batumalay ketika ditemui dalam Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Katanya pengunjung yang ditemui berpuas hati dengan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan bebanan mereka.

JER kendalian Perbandanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai 15 Julai ini, PKPS menjual minyak paket satu kilogram pada harga RM2 sebungkus bagi memenuhi permintaan orang ramai.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

Petugas membuat persediaan sebelum Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Padang Awam Batu Caves pada 9 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :