Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim meninjau kerja turapan jalan di Jalan 22/1, Persiaran Jubli Perak, Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerja turap jalan rosak di sembilan daerah cecah 25 peratus, siap hujung bulan ini

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kerja turapan jalan rosak besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 km yang bermula bulan lepas kini siap 25 peratus, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan, jabatan kerja raya, jabatan pengairan dan saliran serta bawah daerah dijangka siap hujung bulan ini seperti dijadualkan.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kiri) meninjau projek pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam pada 5 Julai 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI

“Projek turapan secara besar-besaran melibatkan 118 jalan di negeri ini dijangka siap hujung bulan ini seperti dijadualkan,” tulisnya di Twitter hari ini.

Bermula 1 Jun, kerja turapan jalan rosak secara mega dilaksanakan di serata negeri bagi memastikan keadaan jalan baik sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna dan mengurangkan risiko kemalangan.

Projek berkenaan melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).

Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja menurap di Jalan Persiaran Elmina 1/1, Kuala Selangor pada 11 Jun 2023. Foto Twitter Infrasel

Bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan di negeri ini, sistem aduan kerosakan juga diperluas ke Facebook untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Cadangan itu tambahan kepada penggunaan Twitter dan aplikasi penyelenggara jalan raya negeri yang dikendalikan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel).

Pada 13 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Selangor menerima peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menjayakan projek membaiki jalan kampung seluruh negeri.

Kerajaan Selangor turut mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya secara mega meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan kelolaan negeri untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh di Selangor.

Sejak 2021 hingga tahun lalu, lebih 39,000 kerja turapan jalan dilaksanakan Infrasel dengan setiap aduan orang ramai berkaitan kerosakkan jalan termasuk jalan berlubang dibaiki dalam tempoh 24 jam.

Infrasel menurap Jalan Raja Musa, Kampung Jalan Lama Panchang Bedena, Sungai Besar, Sabak Bernam pada 3 Oktober 2022. Foto Twitter Infrasel

Pengarang :