Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Limpahan kemajuan dinikmati Selangor hasil pentadbiran cemerlang

GOMBAK, 9 JULAI: Limpahan kemajuan yang dinikmati Selangor dengan catatan pertumbuhan ekonomi membanggakan saban tahun hasil pentadbiran cemerlang adalah berasas dengan pembuktian kukuh.

Dato’ Menteri Besar berkata selain itu kedudukan yang strategik dan menjadi bandar satelit sejak 70-an mengukuhkan lagi limpahan kemajuan negeri

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata fakta itu sekali gus menyangkal kenyataan Menteri Besar Kedah bahawa Selangor tidak layak dijadikan model negeri Pakatan Harapan (HARAPAN) paling berjaya kerana menumpang tuan Kuala Lumpur.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas melancarkan Madani Afiat dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 One Hour Malaysia Clean Up Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 9 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau yang juga Pengerusi HARAPAN Selangor berkata sekiranya mahu menggunakan analogi tersebut, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu mencermin diri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan tidak berasas.

“Kedah sebelah Pulau Pinang (negeri maju) tapi dia (Kedah) macam itu juga. Apa dampaknya. Dia tidak pernah tengok cermin.

“Pulau Pinang sudah membangun jauh, pelaburan begitu besar dan juga pertumbuhan ekonomi ketiga terbaik selepas Selangor dan Kuala Lumpur. Tapi Kedah masih lagi menyumbang hanya sekitar bawah lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Justeru beliau menasihatkan Muhammad Sanusi untuk menumpukan urusan negeri di bawah pentadbirannya sebelum mencampuri urusan negeri lain.

“Sebenarnya Kuala Lumpur itu sebahagian daripada Selangor sebelum ini. Kedudukan kita yang strategik dan kita berjaya menyediakan bandar satelit pada 70-an lagi.

“Inilah masalah Sanusi, mata dia besar kat tempat lain tapi tidak sempat tengok pada masalah yang ada di tempat dia

“Jangan takut. Minggu depan saya akan pergi ke Kedah, saya akan terangkan pada Sanusi macam mana nak jadi yang terbaik macam Selangor,” katanya.

Laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru menunjukkan sumbangan ekonomi Selangor kepada KDNK meningkat kepada 25.5 peratus pada 2022 bertambah lebih baik daripada 24.8 peratus pada tahun sebelumnya.

Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan paling tinggi 13.1 peratus pada 2022 walau sumbangan negeri itu kepada KDNK adalah 7.4 peratus.


Pengarang :