Oleh Fitri Hazim Hazam
SHAH ALAM, 9 JULAI: Laungan ‘Perpaduan Madani’ bergema di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di sini malam ini, yang menyaksikan pelancaran Bilik Gerakan Utama dan Jentera Pilihan Raya DUN itu.
Lautan biru dan merah terdiri daripada penyokong dan jentera kedua-dua gabungan membanjiri khemah sepanjang majlis berlangsung dengan bendera HARAPAN dan BN dikibarkan.
Kehadiran barisan kepimpinan Barisan Nasional (BN) Shah Alam terdiri daripada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri atas semangat perpaduan membangkitkan lagi ‘mood pilihan raya’ jentera masing-masing bagi menawan DUN Kota Anggerik.
Kemeriahan majlis turut disemarakkan dengan kehadiran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor Baharu.
Majlis disempurnakan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor Akmal Nasir.
Antara pemimpin yang hadir penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik Najwan Halimi, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam Datuk Azhari Shaari dan Ketua Parti Amanah Shah Alam Azli Yusof.
Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Shah Alam Hafiz Abd Rahman dan kumpulan aktivis reformasi.
Najwan ketika berucap berkata kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN dengan semangat perpaduan akan mengekalkan kemenangan di Kota Anggerik.
“Kerjasama PH-BN akan angkat martabat DUN Kota Anggerik dengan capai kemenangan PRN sebagai kubu kuat kerajaan perpaduan di Selangor,” katanya.
Selain itu kaunter pendaftaran sukarelawan DUN Kota Anggerik turut dibuka untuk membantu gerak kerja pilihan raya.