Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perpaduan DUN Sungai Tua di Padang Awam Batu Caves pada 9 JULAI 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN, BN sentiasa utamakan Melayu, tolak pelampau kaum

GOMBAK, 10 JULAI: Perjuangan ektremis dibawa Perikatan Nasional (PN) didakwa mampu mengganggu gugat kestabilan negara, sekali gus memecahkan kesepaduan antara rakyat.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berkata sentimen dibawa parti berkenaan wajar ditolak pada saat negara sedang berusaha bangkit selepas berperang dengan pandemik Covid-19.

Sebagai negara yang memiliki rakyat berbilang kaum, agama dan bangsa, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pentadbiran harus adil termasuk penduduk kepada penduduk Sabah dan Sarawak.

“Kita tidak boleh biarkan negara ditadbir ke arah ektremis. Lawan kita hari ini modal, gaya dan cara politik semua ektremis. Ya, kita bela Melayu, martabatkan Islam tetapi kita kena perhatikan orang lain juga sebab Islam pertahan keadilan.

“Melayu menjaga adab dan budi pekerti. Bukan sombong, angkuh serta zalimi orang lain. Kalau biarkan ektremis berkembang, membiak, maka perpecahan berterusan dan tidak dapat dipulihkan,” katanya.

Beliau berucap ketika pelancaran jentera pilihan raya perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua bagi mendepani pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan yakin polisi dibawa HARAPAN dan BN mampu bertahan kerana merangkumi kebajikan semua pihak.

“Walaupun ada parti Melayu, ada parti pelbagai kaum, pasti kaum asas Melayu, dan parti majoritinya bukan Melayu macam DAP tetapi kita berdiri di jalan tengah untuk pertahankan negara seperti terkandung dalam perlembagaan,” katanya.


Pengarang :