Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (dua, kiri) memetik cili selepas mengadakan lawatan tapak bagi Inisiatif Usahawan Tani (Intan) @ PJ City Food Valley di Pangsapuri Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kementerian Ekonomi salur RM2.6 juta jayakan projek rintis tanaman cili di Kuala Langat

KUALA TERENGGANU, 10 JULAI: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menerima peruntukan sebanyak RM2.6 juta daripada Kementerian Ekonomi bagi melaksanakan projek perintis tanaman cili Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat.

Pengerusi LPP Datuk Mahfuz Omar berkata peruntukan di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) itu bertujuan menambah pendapatan dan membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat B40.

Beliau berkata seramai 20 peserta terdiri daripada anggota keluarga ahli PPK Kuala Langat dipilih untuk menyertai program itu yang akan dilancarkan di Putrajaya esok.

“Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan sebanyak RM166 juta untuk LPP dan sebanyak RM2.6 juta telah disalurkan untuk projek perintis cili di PPK Kuala Langat.

“Kita dah kenal pasti generasi muda dari kalangan anggota keluarga ahli PPK untuk projek ini yang dijangka dapat meningkatkan pendapatan peserta melebihi RM2,000 sebulan,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Galeri Kelulut Bukit Usahawan PPK Kuala Terengganu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah LPP Terengganu Hasmila Abas.

Mahfuz berkata pemilihan PPK Kuala Langat sebagai projek perintis setelah komuniti tersebut berjaya memperoleh kontrak ladang untuk membekalkan cili dari syarikat gergasi, Nestle.

“PPK Kuala Langat akan membekalkan cili yang banyak untuk pembuatan sos jenama Maggie. Selain itu pengeluaran juga untuk bekalan ke pasar raya lain sekitar Selangor.

“Anak-anak muda ini akan masuk sebagai pekerja ladang dan apabila sudah mempunyai pengalaman, mereka boleh usaha sendiri di tanah yang ada,” katanya.

Dalam pada itu Mahfuz berkata LPP juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.3 juta untuk porgram pembangunan usahawan tani di Terengganu tahun ini.

– BERNAMA


Pengarang :