Kemalangan bas persiaran dan sebuah kereta di Kilometer 285.3 Lebuhraya Utara – Selatan (Plus) arah Kuala Lumpur pada 10 Julai 2023 menyebabkan dua maut, tujuh penumpang parah. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
AGENDAJENAYAH

Dua maut, lima parah, 13 penumpang cedera kemalangan bas persiaran, kereta

SEREMBAN, 10 JULAI: Seramai 14 penumpang warga asing antara mangsa kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan sebuah kereta di Kilometer 285.3 Lebuhraya Utara – Selatan (Plus) arah ke Kuala Lumpur, 5.25 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai DSP Mat Ghani Lateh berkata mereka terdiri daripada empat warga Indonesia, Singapura (tiga), Kanada (dua), Filipina (tiga) serta masing-masing seorang dari China dan Sepanyol.

Katanya hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah bas persiaran milik Syarikat LA Holidays Travel & Tours Sdn Bhd membawa 20 penumpang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Singapura menuju Kuala Lumpur.

“Bas itu disyaki melanggar tiang jambatan di kanan lebuh raya sebelum berpusing ke kiri dan melanggar sebuah kereta yang berada di lorong kiri lalu terbabas masuk ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata akibat kemalangan itu pemandu bas iaitu lelaki berusia 33 tahun dan seorang penumpang bas wanita warga Indonesia berumur 42 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu lima penumpang dilaporkan parah manakala 13 penumpang lain cedera.

“Penumpang kereta jenis Proton Wira cedera ringan manakala pemandunya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mangsa yang cedera mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dekat sini manakala dua yang maut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.

Terdahulu dilaporkan dua maut dan tujuh penumpang bas parah dalam kemalangan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :