Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din menunjukkan dadah yang dirampas dalam dua serbuan berasingan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 10 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Dadah bernilai RM7.42 juta dirampas, dua sindiket tumpas

SHAH ALAM, 10 JULAI: Polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dengan dua sindiket pengedaran dadah susulan rampasan dadah seberat 222 kilogram (kg) bernilai RM7.42 juta, hasil dua serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Selangor, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata semua suspek berumur antara 38 hingga 47 tahun itu dipercayai aktif menjadi pengedar serta transporter atau pengangkut membawa dadah sejak awal tahun ini dengan bahan terlarang terbabit diperoleh dari utara Semenanjung berdasarkan paket pembungkusan.

“Serbuan polis yang pertama pada 5 Julai di sebuah rumah di Sepang telah menahan lelaki berumur 44 tahun serta merampas 47.8 kg dadah jenis methamphetamine dan ketamin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi operasi kedua di Shah Alam pada 6 Julai, beliau berkata sebuah inap desa diserbu pihak polis bagi menahan dua lelaki berumur 38 dan 47 tahun dan merampas 174.2 kg dadah jenis methamphetamine dan pil yaba.

Beliau berkata hasil kedua-dua operasi terbabit, pihak polis turut menyita dua kenderaan jenis Kia dan Toyota Hilux, dua bentuk cincin serta jam tangan dianggarkan bernilai RM87,705.

“Polis kini sedang mengesan dalang sebenar kedua-dua sindiket ini selain masih menjalankan siasatan menyeluruh sama ada mereka terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dua daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :