Penyandang kerusi DUN Balakong Wong Siew Kii (dua, kiri) bergambar bersama penduduk di hadapan pintu gerbang Kampung Baru Balakong yang dinaik taraf bawah projek Selangor Penyayang. Foto Facebook Wong Siew Kii
ADNBERITA UTAMASELANGOR

10 projek naik taraf kemudahan awam DUN Balakong selesai dilaksana

SHAH ALAM, 10 JULAI: Sebanyak 10 kemudahan awam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong selesai dinaik taraf bawah projek Selangor Penyayang (PSP) tahun ini.

Penyandang kerusi Wong Siew Kii berkata penyelenggaraan infrastruktur dengan peruntukan RM100,000 dijalankan bersama Majlis Perbandaran Kajang serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Beliau memaklumkan kerja naik taraf meliputi pintu gerbang Kampung Baru Balakong, Kampung Baru Batu 11 dan Kampung Sungai Balak termasuk taman permainan di Taman Suria Jaya, Taman Bukit Angsana, Taman Taming Kiri serta Taman Sri Cheras.

“Ia termasuk baik pulih bumbung pasar Taman Megah selain pemasangan bumbung gelanggang bola keranjang di Kampung Baru Sungai Chua dan gelanggang futsal Kampung Sungai Balak,” katanya ketika dihubungi.

Keadaan pintu gerbang Kampung Baru Balakong sebelum dan selepas naik taraf dilaksanakan bawah projek Selangor Penyayang. Foto Facebook Wong Siew Kii

Beliau mengakui pelaksanaan projek terbabit melegakan penduduk setempat yang selama ini mengharapkan kemudahan selesa bagi menjalankan aktiviti komuniti.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan dan bergerak menjayakan pelaksanaan projek berkaitan,” katanya.

Belanjawan Selangor memperuntuk RM28 juta bagi mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat melalui penyediaan projek kecil bawah projek Selangor Penyayang.

Keutamaan projek itu melibatkan penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.


Pengarang :