Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil bersama Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Ts Mahadhir Aziz (kanan) merasmikan Buku MDEC Horizon sempena majlis Perasmian MDEC Horizon di Nexus Bangsar pada 10 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Jabatan Penyiaran terbit senarai lokasi, tarikh program Jualan Rahmah seluruh negara 

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jabatan Penyiaran akan menerbitkan senarai lokasi dan tarikh bagi Program Jualan Rahmah bergerak di seluruh negara.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata ia bagi membantu rakyat untuk mengetahui lokasi dan tarikh bagi mendapatkan penjimatan apabila membeli barang mentah atau barang keperluan.

“Saya juga telah meminta Jabatan Penerangan melalui komuniti MADANI yang berada di lapangan serta pegawai Jabatan Penerangan menyampaikan kepada komuniti masing-masing apabila Jualan Rahmah diadakan di kawasan mereka.

“Ini kita percaya akan membantu dengan khusus kawasan yang hadapi isu ataupun perlukan sedikit bantuan (dari segi barangan keperluan),” katanya pada sidang media selepas melancarkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Horizon Publication di sini hari ini.

Fahmi juga menjelaskan laporan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menunjukkan Program Jualan Rahmah sangat popular dan membantu mengurangkan tekanan dari segi kos harga barang kerana penjimatannya sangat tinggi.

Berhubung beberapa laporan media tempatan mengenai kenaikan harga barangan pengguna, Fahmi menjelaskan kadar inflasi Malaysia mereda pada Mei 2023 dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) turun kepada 2.8 peratus menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Sebenarnya sektor komunikasi menunjukkan penurunan yang sangat mendadak iaitu -4 peratus, Jadi ia, deflasi bukan inflasi dan memang kalau kita lihat makanan dalam senarai itu, bahan mentah dan sebagainya peningkatannya sangat minimum,” katanya.

Fahmi juga berkata pihaknya akan memanjangkan laporan isu kenaikan harga barang yang diterima kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya termasuk penguatkuasaan.

Bertanya mengenai rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam kalangan parti komponen gabungan Pakatan Harapan (PH), Ketua Penerangan PKR yang juga Pengarah Komunikasi PH itu berkata ia akan diumumkan tidak lama lagi.

“Rundingan berjalan dengan baik, saya lihat dalam kalangan pimpinan rata-rata suasananya positif dan saya percaya tidak lama lagi akan diumumkan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan diadakan secara serentak pada 12 Ogos ini dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

– BERNAMA


Pengarang :