Orang ramai hadir mencari peluang pekerjaan sempena Selangor Mega Job Fair 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 17 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bilangan penganggur Mei turun 584,600 orang berbanding 586,900 pada April

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Bilangan penganggur terus menurun pada Mei tahun ini dengan pengurangan 0.4 peratus kepada 584,600 orang berbanding 586,900 pada April, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

DOSM menerusi Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Mei 2023 yang disiarkan hari ini memaklumkan kadar pengangguran pada Mei tahun ini tidak berubah dari bulan sebelumnya iaitu kekal pada 3.5 peratus.

Menurut DOSM bilangan tenaga buruh pada Mei tahun ini terus mencatatkan trend menarik dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 16.86 juta orang berbanding 16.84 juta orang pada April.

“Kadar penyertaan tenaga buruh Mei kekal pada 70 peratus seperti pada bulan sebelumnya,” menurut jabatan itu.

DOSM turut memaklumkan bilangan penduduk bekerja pada Mei 2023 meningkat secara berterusan dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.28 juta orang berbanding 16.25 juta orang pada April.

Menurut DOSM, kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 24 tahun menurun 0.1 peratus kepada 11 peratus dengan seramai 313,000 penganggur belia pada Mei tahun ini berbanding 11.1 peratus dengan 315,600 penganggur belia berbanding April.

Bagaimanapun, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat 0.3 peratus kepada tujuh peratus dengan 448,600 penganggur belia berbanding 6.7 peratus pada April dengan 441,000 penganggur belia.

Jabatan itu memaklumkan bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Mei tahun ini terus mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.02 peratus walaupun jumlahnya tidak berubah iaitu 7.23 juta orang sejak April.

DOSM memaklumkan susulan ekonomi Malaysia dijangka berdepan cabaran berikutan kedudukan ekonomi global yang tidak menentu, yang digambarkan oleh indikator Indeks Pelopor Malaysia pada April, pasaran buruh juga dilihat akan berdepan dengan ketidaktentuan.

“Oleh itu, tenaga buruh dijangka berkembang pada kadar sederhana dalam beberapa bulan akan datang,” menurut DOSM.

– BERNAMA


Pengarang :