Dua mayat lelaki ditemukan dalam dua bungkusan kanvas di Kampung Ujong Padang, Cheng, Melaka pada 10 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Dua mayat lelaki ditemukan dalam bungkusan kanvas di kawasan timbunan sampah

MELAKA, 10 JULAI: Dua mayat lelaki ditemukan dalam dua bungkusan kanvas berdekatan kawasan timbunan sampah di Kampung Ujong Padang, Cheng di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata bungkusan mengandungi mayat itu ditemukan dalam semak di tepi jalan oleh penghantar barangan runcit lelaki berusia 35 tahun pada jam 9 pagi.

“Siasatan awal mendapati, mayat pertama dijumpai lengkap berpakaian, berkemeja-T hitam dan berseluar jean pendek dalam kanvas yang telah diikat dengan “cable tie” dan tali.

“Manakala mayat kedua dijumpai dalam kanvas bersebelahan tubuh pertama dan pemeriksaan lanjut mendapati mayat itu tidak berbaju dan hanya berseluar jean pendek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata indentiti kedua-dua mayat itu masih belum dikenal pasti dan tiada dokumen pengenalan diri dijumpai pada keduanya ketika ditemukan.

Christopher berkata berdasarkan keadaan mayat berkenaan, mangsa dipercayai telah mati dua atau tiga hari lepas di tempat lain sebelum dibuang di lokasi jasad itu diketemukan.

“Pemeriksaan lanjut pada tubuh mayat juga terdapat tatu namun ia tidak berapa jelas dan pemeriksaan lanjut masih dilakukan oleh doktor dan diharapkan menerusi kulit jari mereka, kita dapat kenal pasti identiti si mati.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya sambil menyatakan mereka yang ada maklumat kejadian itu diminta hubungi pegawai penyiasat kes ASP Muhather Abd Kudus di talian 013-288 4878 atau Bilik Gerakan IPD Melaka Tengah (06-284 1999).

– BERNAMA


Pengarang :