Orang ramai membeli barangan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Gombak di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 11 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ratusan penduduk kunjungi jualan murah, program terus dapat sambutan

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 11 JULAI: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Parlimen Gombak di Kampung Nakhoda di sini mendapat sambutan ramai apabila dikunjungi lebih 400 orang sejak awal pagi.

Pegawai Gudang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Samsiyah Samsudin berkata program berkenaan kian dikenali penduduk dan sentiasa dinantikan pada setiap penganjuran.

“Setakat ini, jualan lancar dan teratur, malah kerjasama bersama Parlimen juga baik. Kebanyakan rakyat Selangor sudah maklum program ini, jadi kita dapat lihat sambutan meningkat,” katanya.

Jualan murah itu menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Dahulunya dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat, program yang berlangsung sehingga Disember ini diteruskan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :