Temu bual Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail di Pusat Khidmat DUN Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pada 12 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Adil agih manfaat, pentadbiran negeri dipuji tidak pinggir DUN pembangkang

OLEH NAJAMUDDIN MOHD NOR

SHAH ALAM, 11 JULAI: Program kebajikan bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) memanfaatkan rakyat negeri ini, termasuk luar bandar dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang.

Penyandang DUN Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail berkata inisiatif itu diagihkan secara adil kepada penduduk bagi memastikan hasil negeri dinikmati semua tanpa mengira fahaman politik.

“Selama hampir lima tahun sebagai ketua pembangkang di Selangor (sebelum kerajaan perpaduan), saya berterima kasih kerana Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sediakan pelbagai inisiatif untuk rakyat.

“Rakyat di DUN saya juga tidak terlepas daripada menikmati manfaat itu, terutama program ISP yang sememangnya amat bagus untuk warga Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Rizam turut berterima kasih kepada pentadbiran negeri yang memilih DUN Sungai Air Tawar sebagai salah satu lokasi projek rintis pembangunan Pusat Smart Desa, yang dirasmikan Mei lalu.

Menurutnya, pusat berkenaan yang dilengkapi internet memberi kemudahan pendidikan yang selesa kepada penduduk luar bandar, sekali gus mengelakkan mereka daripada keciciran teknologi.

Pusat Smart Desa yang menelan belanja hampir RM200,000 bakal membantu penduduk luar bandar bergerak seiring arus pemodenan ketika ini.


Pengarang :