SHAH ALAM, 12 JULAI: Inisiatif kampung tanpa tunai kian mendapat tempat dalam kalangan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan apabila lebih 5,000 individu beralih kepada pembayaran digital.
Penyandang kerusi DUN Sekinchan berkata dapatan menunjukkan pelajar sekolah paling ramai menggunakan transaksi tanpa sentuh Hong Leong Bank sekali gus membuktikan capaian digital kawasan terbabit semakin meluas.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2020/08/PSX_20200824_140538-500x360.jpg.webp)
“Rata-rata penduduk guna kaedah ini dengan pelajar sekolah paling cenderung untuk buat transaksi bayaran di premis termasuk warung pasar pagi. Kaedah ini akan diperluas di Sekinchan semaksimum mungkin.
“Sememangnya ia pencapaian luar biasa kerana Sekinchan mampu menjadi kampung pertama dalam negara melaksanakan kaedah ini,” kata Ng Suee Lim ketika dihubungi.
Sebelum ini, DUN Sekinchan dipilih sebagai kampung tanpa tunai pertama di Malaysia oleh Hong Leong Bank Bhd (HLB) dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) menerusi program Visit Sekinchan 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB Domenic Fuda memaklumkan pemilihan DUN terbabit berikutan lokasinya yang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.