Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)
AGENDANASIONAL

RM1.54 juta bina 22 kediaman, bantu keluarga luar bandar miliki rumah selesa

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 13 JULAI: Sebanyak 22 unit kediaman dibina membabitkan peruntukan RM1.54 juta bagi meningkatkan kualiti kehidupan keluarga luar bandar.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata Rumah Madani Rakyat bernilai RM70,000 seunit diberikan kepada penduduk yang memiliki kediaman uzur dan tidak selamat dihuni.

Menurut Nga Kor Ming, rumah seluas 660 kaki persegi merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air dibangun oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

“Rumah baru ini diberikan kepada penduduk yang amat merlukan bagi menggantikan kediaman mereka yang telah usang dan tidak lagi selamat untuk didiami.

“Dalam lawatan hari ini saya sempat menemui penerima yang mewarisi rumah yang didiami tiga generasi. Rumah berusia hampir 90 tahun dibina nenek penerima sebelum merdeka. Jadi kita bawa berita baik mereka akan dapat rumah baru yang akan siap dalam 90 hari,” katanya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming melihat replika rumah dalam program Madani Rakyat di Kampung Air Panas Kerling pada 13 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita pada program Sentuhan Kasih Kementerian KPKT ke Selangor di sini, yang turut diiringi EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han dan Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Lee Kee Hiong.

Tambah Kor Ming, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi merealisasikan rancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kesejahteraan rakyat.

“Semua peruntukan yang diluluskan ini berdasarkan ‘performance based budget ( peruntukan berlandaskan prestasi pelaksanaan) bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan.

“Justeru kita akan bina sebanyak 22 unit Rumah Madani Rakyat di seluruh negara iaitu di Selangor, Johor, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak,” katanya.

Sebelum ini, Kor Ming mengumumkan KPKT memperuntukkan sehingga RM700 juta menerusi program Sentuhan Kasih dengan menjelajah ke sembilan negeri.

Selangor menerima kira-kira RM8.24 juta bagi menaik taraf, menyelenggara infrastruktur awam melibatkan enam projek di negeri ini.


Pengarang :